Berita Utama

MyKad hilang: Lelaki buat laporan palsu kononnya diragut

Lelaki itu akan dihadap ke mahkamah dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Gara-gara tidak mahu membayar denda kerana kehilangan kad pengenalan, seorang lelaki bertindak membuat laporan polis palsu kononnya beliau menjadi mangsa kes ragut, di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, lelaki berusia 26 tahun itu membuat laporan polis dengan mendakwa dia diragut semasa berada di kawasan Jalan gasing, Petaling Jaya oleh dua suspek, kira-kira 6.15 petang.

Beliau berkata polis yang meragui kenyataannya telah memanggil semula lelaki itu, yang akhirnya mengaku bahawa kad pengenalan beliau sebenarnya hilang, dan laporan polis mengenai kejadian ragut yang dibuatnya adalah palsu.

“Lelaki itu berbuat demikian kerana bimbang tidak dapat memperbaharui kad pengenalannya atau perlu membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu tidak ditahan, namun dijangka akan dihadap ke mahkamah dalam tempoh terdekat, selepas satu kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya lelaki dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan akibat membuat laporan palsu.

Nik Ezanee berkata, tahun ini pihaknya menerima enam kes melibatkan orang awam membuat laporan polis palsu dan polis yang memandang serius perkara itu, mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan sesuka hati demi kepentingan peribadi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button