Berita UtamaIstimewa

Pasang Jalur Gemilang terbalik perbuatan khianat pada negara

Provokasi ini dirancang mahu pengaruhi pemikiran anak muda?

BANGI, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Tindakan memijak dan memasang Jalur Gemilang secara terbalik adalah perbuatan yang dianggap mengkhianati simbol kedaulatan negara. 

Justeru, sekiranya mereka memberi alasan tidak sengaja atau tersilap pasang – sukar untuk diterima – memandangkan Malaysia sudah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun. 

Pengerusi Kelab Remaja Isma (KRIM), Ibrahim Shakrawi berkata, sudah 63 tahun tanah air ini merdeka, maka menjadi kewajipan seluruh rakyat menjunjung tinggi serta menghormati bendera Malaysia. 

“Pelik, sudah menjadi ‘trend’ pasang bendera terbalik bila saja sambutan bulan kemerdekaan. Perkara ini mula sejak 2014 lagi, selepas kemenangan besar parti pembangkang ketika itu. 

“Setiap tahun provokasi-provokasi khianat ini dilakukan,” katanya mengulas beberapa insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Kapar tular kerana menggantung Jalur Gemilang pada dinding secara terbalik.

Insiden sama juga turut berlaku di sekolah jenis kebangsaan di Kluang, Johor apabila bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik pada tiang bendera sekolah berkenaan.

Kelmarin, tular lagi sekeping gambar apabila bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah restoran di Tawau, Sabah.

Ketua Polis Daerah Tawau dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati pemasangan jalur gemilang secara terbalik itu tidak disengajakan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja restoran terbabit yang secara tidak sengaja terbalik,” katanya.

Mengulas lanjut Ibrahim percaya perbuatan ‘mereka’ itu bagaikan satu bentuk provokasi yang dirancang oleh pihak yang inginkan generasi baru hilang rasa cinta negara. 

“Lebih-lebih lagi provokasi khianat ini sememangnya akan banyak mempengaruhi pemikiran anak muda remaja yang masih ‘fragile’ dalam memahami jati diri cintakan negara,” katanya.

Beliau dengan penuh rasa tanggungjawab meminta pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih tegas terhadap isu ni. 

“Buang kerakyatan bagi yang khianat pada negara. Tindakan berat mesti diambil kepada mereka yang khianat,” katanya.

Bagaimanapun di Johor, polis menahan seorang wanita berusia 55 tahun, kerana dipercayai memasang Jalur Gemilang terbalik di sebuah kedai makan di Taman Nasib, Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati premis terbabit yang menjalankan perniagaan kedai makan sejak tahun 2017, itu tidak lagi beroperasi sejak awal Januari lalu.

“Pemasangan bendera terbalik ini adalah sejak premis beroperasi iaitu pada tahun 2017 hingga aduan dibuat oleh orang awam. Turut dirampas sehelai bendera Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button