Berita Utama

Cabar Menteri Perpaduan sokong cadangan RCI perpaduan pendidikan

Ayuh desak parti politik Melayu masukkan sistem pendidikan satu aliran dalam manifesto

BANGI, 29 Zulhijjah 1441H, Rabu –  Kementerian Perpaduan Negara digesa memberikan respon terhadap kenyataan Ahli Parlimen kerajaan berhubung isu kewujudan sekolah pelbagai aliran di negara ini – yang didakwa menjadi punca rakyat berpecah-belah. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemimpin sentiasa meminta rakyat bersatu padu, tetapi masyarakat tidak menyedari perpecahan berlaku semasa di peringkat sekolah rendah yang berbeza aliran.

Serentak itu, Bung mencadangkan supaya Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan, bagi membolekan kajian aspek perpaduan dalam pendidikan dibuat.

Mengulas perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sudah lama tidak kedengaran mana-mana Ahli Parlimen menyebut bahawa sekolah pelbagai aliran menjadi punca perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Apa yang menariknya ialah, beliau (Bung) mencadangkan penubuhan RCI untuk mengkaji aspek perpaduan dalam pendidikan di negara kita.

“Saya meminta Menteri Perpaduan memberikan respon akan cadangan ini. 

“Apakah kementerian ini berani menyokongnya atas nama perpaduan, memandangkan timbalan menteri adalah dari MCA, yang menjadi pendukung kuat sekolah vernakular? Ini satu cabaran kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, cadangan itu juga perlu diberi perhatian dan dibincangkan pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan tokoh pendidikan, memandangkan isu sekolah vernakular sering menjadi modal untuk kempen pilihan raya.

“Kita harap kata-kata beliau di Parlimen ini bukan satu lagi retorik bagi menarik publisiti sahaja.

“Mungkin ini boleh mengakhirkan segala polemik mengenai sekolah pelbagai aliran di negara kita ‘once and for all’,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin turut mengharapkan Ahli Parlimen lain dapat mengangkat cadangan itu, terutamanya daripada pihak kerajaan kerana isu berkenaan pernah dilaungkan ketika menjadi pembangkang dahulu.

Katanya, inilah masanya untuk menghidupkan atau memulakan langkah dengan semudah mengulas mengenai cadangan itu, jika tidak mampu mengusahakan dalam skala lebih besar kepada bentuk dasar atau polisi.

“Kami melalui NGO-NGO, terutamanya ISMA berjuang mengikut kemampuan kami, iaitu antaranya mencabar keabsahan sekolah vernakular di mahkamah dan berkempen kerana kami bukannya parti politik apatah lagi kerajaan.

“Semuanya menggunakan masa, tenaga dan duit ahli kami sendiri. Maka, apa alasan kerajaan dan parti-parti Melayu untuk mengusahakan sesuatu juga?,” katanya.

Haji Aminuddin mengakui beliau mengimpikan sistem pendidikan satu aliran di bawah satu bumbung, dengan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utamanya.

“Kepada rakyat sekalian, ayuh kita desak parti-parti politik Melayu untuk agenda ini sebagai tuntutan rakyat supaya dimasukkan di dalam manifesto mereka menjelang PRU15 nanti, bukan sekadar kata-kata di bibir sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button