Berita Utama

Ekuiti Bumiputera merosot: Pertumbuhan GDP tak jamin keadilan ekonomi

Pemahaman neo liberal ekonomi yang terlampau kapitalistik, hasilnya kita lihat kaya bertambah kaya dan yang miskin kekal begitu

BANGI, 29 Zulhijjah 1441H, Rabu – Kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera ketika ini berada pada tahap 16 peratus – jumlah yang semakin merosot – dapat diatasi sekiranya pendapatan isi rumah menjadi indikator utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan lebih fokus untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, bukan mengenai keberhasilan dan kesan pada rakyat secara spesifik.

“Indikator seperti pertumbuhan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) dijadikan indikator utama sedangkan ia tidak dapat menjamin keadaan ekonomi dari segi keadilan ekonomi, kemakmuran bersama, dan ketidakseimbangan antara kaum, antara negeri dan lain lain.

“Kita dipengaruhi dengan pemahaman neo liberal ekonomi yang terlampau kapitalistik, di mana hasilnya kita lihat yang kaya bertambah kaya dan yang miskin kekal begitu. Mobiliti sosial menjadi semakin sukar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Selain itu Ahmad Yazid berkata, dasar-dasar juga tidak diperhalusi dan dibaiki, ditambah pula dengan gejala ‘Ali Baba’ dan rasuah menjadikan pengawasan dan keberkesanan menjadi lebih mencabar dan sukar.

“Yang terakhir ada matlamat tidak jelas. Sekadar cukup syarat. Bila matlamat pencapaian Bumiputera tidak dikenal pasti, bagaimana kita nak rancang sesuatu yang memberi impak yang diinginkan? 30 peratus pun tak dapat.

“Masalahnya siapa tentukan 30 peratus ekuiti itu matlamat kita? Berdasarkan kajian apa? Apa kesan yang kita kehendaki?

“Sebaiknya pendapatan isi rumah menjadi indikator utama. Dan berdasarkan ini kita boleh ketahui berapakah sumbangan komuniti ekonomi Bumiputera kepada GPD yang diperlukan untuk beri kesan sebegitu rupa.

“Baharulah masuk akal untuk kita kenal pasti apa yang perlu dilakukan, industri mana yang kita perlu pertahan atau industri baharu mana yang perlu kita ceburi supaya jurang ekonomi antara kita dapat dikurangkan dengan lebih bermakna,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat kini pada kadar 16 peratus dan disifatkan membimbangkan, berikutan peratusannya merosot berbanding sebelum ini.

Di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini, kerajaan menyasarkan pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus namun ia tidak tercapai, malah merosot kepada 16.2 peratus (pada 2015) berbanding 23 peratus pada 2011.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button