Berita UtamaIstimewa

‘Kakak Kondom’ seolah normalisasi perbuatan zina

Adakah dengan amalkan seks selamat, seseorang bebas lakukan seks?

BANGI, 29 Zulhijjah 1441H, Rabu – Pendidikan seks sepatutnya memfokuskan kepada aspek menjaga diri dan maruah supaya tidak terjebak dengan perbuatan zina.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, pendedahan kepada seks selamat hanyalah membantu mengurangkan beberapa gejala yang berlaku hari ini, namun tidak menyelesaikan masalah utama.

Beliau menegaskan, permasalahan utama yang berlaku adalah amalan seksual secara bebas sebelum bernikah iaitu perbuatan zina.

“Seks sebelum berkahwin, tidak kisah bagaimana pun penjagaannya, kalau dilakukan selain suami isteri tetap dikira zina.

“Pendidikan seks yang ke arah mengajar seks selamat semata-mata, bukan sahaja menggalakkan zina, tetapi juga menjadi punca keruntuhan rumah tangga dan akhlak masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas video ‘Kakak Kondom’ yang mendapat kecaman netizen, kerana kandungannya didakwa seolah-olah menggalakkan penzinaan.

Dr Suriani menyifatkan kandungan video itu menggalakkan amalan seksual sebelum nikah dan membawa kehancuran kepada golongan muda.

“Ia seolah-olah menormalisasi perkara yang jelas haram bukan setakat dalam Islam, malah agama lain juga.

“Adakah dengan mengamalkan seks selamat, seseorang bebas melakukan seks dengan sesiapa sahaja? 

“Atau seorang suami bebas melakukan seks dengan perempuan lain selain isterinya? Atau seorang isteri dengan lelaki selain suaminya?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button