Berita Utama

Kulim had waktu operasi premis perniagaan di beberapa kawasan

Pengecualian kepada stesen minyak, klinik swasta, pasar borong

ALOR SETAR, 29 Zulhijjah 1441H, Rabu – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengehadkan waktu operasi perniagaan di beberapa mukim berkuat kuasa semalam, adalah selaras dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, walaupun semua tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, ada peruntukan tertentu yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri dan PBT.

“Jadi kuasa yang diperuntukkan di bawah PBT ialah mengehadkan aktiviti premis perniagaan dari pukul 12 tengah malam kepada 8 malam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai notis pemberitahuan yang dikeluarkan MPKK semalam berkenaan waktu operasi premis perniagaan di beberapa mukim dan kawasan di Kulim susulan penularan COVID-19.

Menurut notis yang dimuat naik di laman Facebook PBT itu, semua perniagaan di mukim atau kawasan terlibat iaitu Mukim Keladi, Mukim Padang Cina, kawasan Kelang Lama, Mukim Karangan dan Mukim Padang Meha hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada stesen minyak, klinik perubatan swasta, pasar borong dan kilang yang mendapat kelulusan operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bagi premis perniagaan makanan pula, mereka hanya dibenarkan menjual secara bawa pulang atau pandu lalu sahaja.

Dalam pada itu, notis sama juga menyenaraikan pasar malam dan pasar pagi di daerah itu yang ditutup sementara iaitu di Taman Mutiara, Kelang Lama, Sungai Karangan, Merbau Pulas dan Taman Desa Aman.

Orang ramai atau para peniaga diminta merujuk notis tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kawasan yang terlibat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button