Normalisasi hubungan Sudan-Israel hanya untungkan negara penjajah
Hamas tegaskan rakyat Sudan iktiraf negara Zionis sebagai musuh
GAZA, 29 Zulhijjah 1441H, Rabu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menegaskan bahawa normalisasi hubungan antara negara haram Israel dan Sudan tidak akan menguntungkan wilayah berkenaan.
Jurucakap Hamas, Hazim Qasim berkata, kenyataan Kementerian Luar Negeri Sudan untuk menjalin hubungan rasmi dengan negara penjajah Israel bertentangan pendirian rakyat Sudan, yang mengiktiraf negara Zionis itu sebagai musuh.
“Hubungan normalisasi ini mendorong Israel untuk terus bertindak zalim terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Menggesa langkah menormalisasi hubungan dihentikan, Hazim berkata, tindakan itu akan menguntungkan projek Zionis memperluaskan penjajahannya dan merugikan rakyat di wilayah itu.
Semalam, Jurucakap Kementerian Luar Negeri Sudan, Haydar Badawi Sadig tidak menafikan wujud hubungan antara negara itu dengan Israel.
Memuji kesepakatan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel, Sadig berkata, langkah UAE dianggap berani dan meletakkan negara Arab di landasan betul untuk membina keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri Sudan dalam satu kenyataan lain menyifatkan terkejut dengan dakwaan jurucakapnya itu.
“Kementerian Luar Negeri Sudan menegaskan bahawa masalah hubungan dengan Israel tidak dibahas di peringkat kementerian, dan Duta Besar Haydar Badawi Sadig tidak ditugaskan untuk membuat kenyataan itu,” kata kementerian. – Agensi