Berita Utama

Bahasa Melayu agen ‘kritikal’ kukuh perpaduan bangsa

ISMA lancar kempen bulan kemerdekaan ‘Bahasa Identiti Negara’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Muharram 1442H, Khamis – Musibah perpecahan kaum yang semakin meruncing di negara ini memerlukan tindakan pemulihan segera dalam memastikan keamanan mampu dikekalkan demi kebaikan generasi masa hadapan.

Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempercayai, hubungan penduduk berbilang bangsa mampu dipulih dan diperkukuhkan dengan menjadikan bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa perantaraan sebagai elemen nombor satu perpaduan.

Atas matlamat itu, ISMA hari ini melancarkan kempen bulan kemerdekaan bertemakan ‘Bahasa Identiti Negara’.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kempen berkenaan bermatlamat mengangkat peranan ‘kritikal’ bahasa Melayu sebagai agen kepada perpaduan.

Selain itu, katanya, kempen juga membawa misi melahirkan individu dan masyarakat yang mampu bangkit bersama semangat patriotik tinggi untuk setia berjuang demi kebaikan negara dan umat Islam. 

“Sebahagian daripada perjuangan pembinaan negara Malaysia itu adalah perjuangan memperkukuhkan identiti negara melalui pengukuhan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

“Justeru, kempen ini bermatlamat untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terutama bangsa Melayu dan orang Islam di Malaysia berkaitan konsep kenegaraan Islam, sejarah perjuangan Islam di Malaysia dan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti negara Malaysia,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat ISMA, di sini hari ini.

Kempen akan berlangsung selama sebulan dari 15 Ogos hingga 16 September depan.

Ia turut menyasarkan beberapa objektif antaranya menonjolkan kisah perjuangan dan pemikiran beberapa tokoh pejuang dalam pembinaan identiti negara Islam dengan memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, bagi tujuan itu pelbagai aktiviti dan program disusun seperti ceramah, forum, ‘Kempen Kembalikan Nama Bukit Melaka’, pertandingan menulis anekdot dan puisi, sebaran risalah dan terbitan video-video pendek.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button