Berita Utama

COVID-19: Hanya 5 kes positif dikesan hari ini

Tiada penularan tempatan, kesemua adalah kes import

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1442H, Khamis – Hanya lima kes positif COVID-19 baharu direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, kesemuanya kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 9,240 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 183 kes.

Menurutnya, lima kes import berkenaan melibatkan dua warga Malaysia manakala tiga lagi bukan warganegara.

“Kes-kes tersebut dari negara Jepun (empat kes di Sarawak) dan Bangladesh (satu kes di Selangor). Tiada kes penularan dalam negara yang dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tujuh kes telah pulih daripada pandemik berkenaan dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,932 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melalui catatan di Twitter rasminya memaklumkan tiga kluster telah tamat ia melibatkan Kluster Elsa, Kluster Stutong dan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Al-Khobar menjadikan jumlah kluster yang tamat ialah 82. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button