Berita Utama

Dong Zong ingati kelahiran pemimpin dilucut kerakyatan walau dibidas

Mendiang Lian Geok tolak struktur semula sekolah menengah Cina

BANGI, 1 Muharram 1442H, Khamis – Meskipun sebelum ini Jiao Zong menerima kritikan hebat berikutan cubaan membangkitkan semula semangat perjuangan mendiang Lim Lian Geok, namun kali ini giliran sekutunya pula iaitu Dong Zong melakukan perkara sama.

Terbaharu, Dong Zong dalam perkongsiannya di laman sosial Facebook, semalam mengingati ulang tahun kelahiran ke-119 Lian Geok.

“Hari ini (Rabu) 19 Ogos ialah hari kelahiran ke-119 cikgu Lim Lian Geok. Tidak kira berapa lama masa berlalu, prinsip dan semangat cikgu akan kekal selamanya.

“Maka ada satu pepatah mengatakan, nak mengenali pendidikan Cina di Malaysia, tidak boleh jika tidak menyebut nama Lim Lian Geok,” katanya.

Pada masa sama, Dong Zong berkata, anak-anak yang mengorak langkah untuk menimba ilmu di Sekolah Menengah Cina Persendirian (SMPC) berpeluang mengenali Lian Geok menerusi subjek ‘Kisah Pendidikan Cina Cikgu Bok Tai Hee’.

“…malah pelajaran dari buku teks pelajar tingkatan 1 bab ke-17, bertajuk ‘Ombak Yang Paling Cantik’ turut diperkenalkan Lim Lian Geok kepada anak-anak pemimpin yang penuh bersemangat ini.

“Berapa ramai yang tahu tentang petikan (quotation dari Lim Lian Geok? Sila tinggalkan komen,” tulis Jiao Zong lagi.

Jiao Zong pada 13 Ogos, menyiarkan semula sejarah perjuangan mendiang Lian Geok yang lantang menolak penstrukturan semula sekolah menengah Cina.

Mendiang pernah mengingatkan semua orang Cina bahawa sekolah menengah Cina adalah kubu pertahanan budaya mereka.

Disebabkan kelantangan itu, kerajaan telah melucutkan taraf kewarganegaraan Lian Geok dan membatalkan sijil kelayakan perguruannya.

Ucapan Lian Geok iaitu “langit di atas kepala, bumi di bawah kaki saya, saya Lim Lian Geok tidak pernah menyerah kalah! Hidup dengan bermaruah! Saya tidak pernah melarikan diri,” – telah dianggap epik dan modal pembakar semangat perjuangan pendidikan Cina.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button