Berita Utama

‘Kenapa nak kekal nama penjajah sedangkan kita dah merdeka?’

Nama Bukit Melaka tercatat dalam bahan bukti primer sejarah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Muharram 1441H, Khamis – “Sudah sampai masanya untuk kita menaikkan identiti kita sendiri tanpa dibayangi kesan-kesan penjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu.”

Demikian tegas Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya dalam menyokong usaha pelancaran ‘Kempen Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’ di Bukit St Paul yang dianjurkan oleh Pemuda ISMA, baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha untuk menegakkan kembali sejarah yang sebenar perlu disokong semua pihak supaya rakyat lebih mengenali jati diri mereka.

“Kita perlu yakinkan pada rakyat, yang hakikatnya isu ini bukan satu perkara yang mustahil atau pun pelik.

“Nama itu – Bukit St Paul ditukar oleh penjajah, adakah kita nak kekalkan nama penjajah ini walhal kita sudah merdeka?,” soalnya dalam sidang media di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, kempen yang dilancarkan itu tidak berasaskan perasaan anti kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya mempunyai satu tujuan utama iaitu mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan.

Sementara itu, Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual menjelaskan, nama asal Bukit Melaka tidak dapat disangkal lagi kerana banyak bukti sejarah telah dikumpulkan.

Katanya, berdasarkan hasil kajian Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), nama Bukit Melaka terdapat dalam catatan penulis Portugis bernama Eredia dan juga pernah ditulis dalam Sulalatus Salatin yang merupakan kitab penting sejarah Melayu.

“Jadi pertukaran ini adalah berlandaskan fakta sejarah yang konkrit, ini sumber primer yang memang menyokong asas nama ini.

“Asalnya namanya memang Bukit Melaka. Sudah masanya kita angkat kembali nama berkenaan.

“Kita tidak menidakkan Bukit St Paul. Kita hanya nak kembalikan nama asal dia. Justeru, kita akan jumpa dengan ketua menteri dan akan susun dengan kerajaan negeri bagi tindakan selanjutnya insya-Allah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button