Berita UtamaDunia

Serangan Israel ancam nyawa 120 bayi Palestin

Bekalan elektrik kerap terputus, undang kerosakan pada peralatan

GAZA, 1 Muharram 1442H, Khamis – Gangguan bekalan elektrik yang kerap bakal mengancam nyawa 120 bayi baru lahir yang kini dirawat secara intensif dan diletakkan di dalam inkubator di hospital Gaza.

Bimbang dengan keadaan itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Pengerusi Jaringan Neonatal Gaza (GNN), Dr Nabil Al-Baraqoun berkata, kesemua 135 inkubator neonatal digerakkan oleh elektrik.

Justeru, katanya, kekerapan terputusnya bekalan elektrik dan penggunaan sumber tenaga alternatif menyebabkan kerosakan pada alat perubatan seperti inkubator, peralatan resusitasi dan ventilator, yang boleh menyebabkan komplikasi pada bayi, bahkan boleh mengakibatkan kematian.

Jelasnya, penggunaan sumber alternatif seperti penjana tenaga dan tenaga suria tidak memberikan kuasa yang mencukupi kepada inkubator. 

Terdahulu, pesawat pejuang tentera Israel melancarkan siri pengeboman udara terbaharu di Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas, susulan serangan roket Palestin membedil Selatan Israel.

Jurucakap Tentera Israel, Avichay Adraee dalam satu kenyataan berkata, pesawat perang Israel menyasarkan beberapa tempat di Gaza, termasuk sebuah kompleks milik sayap tentera Hamas.

Dalam pada itu, pegawai keselamatan Mesir dilihat cuba menjadi pengantara selepas serangan terbaharu itu apabila cuba berunding dengan kedua-dua pihak bagi meredakan ketegangan selama lebih seminggu itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button