Berita Utama

Papan tanda Cina: Bukti DAP ‘parti Cina yang pekat’

Jangan lupa mereka konsisten mahu hapus hak Bumiputera

BANGI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Tindakan provokasi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar raya Kuching, Sarawak disifatkan sebagai satu hipokrasi yang nyata.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, apa yang lebih biadab adalah pemimpin mereka sendiri mempertahankan tindakan itu kononnya mahu ‘mengembalikan tulisan Cina yang hilang’.

“Lebih ironinya, kaum-kaum asal di sana tidak pun menuntut agar mahu meletakkan bahasa masing-masing pada papan tanda. Pastinya kerana mereka bangga dengan bahasa kebangsaan dan faham bahawa bahasa itu adalah bahasa untuk semua. Tindakan DAP ini lebih sudu daripada kuah.

“Ini satu lagi bukti hipokrasi dasar perjuangan DAP yang kononnya untuk semua kaum atas retorik ‘Malaysian Malaysia’. Tindakan spontan DAP ini membuktikan mereka masih lagi sebuah ‘parti Cina yang pekat’ dan tidak pernah berubah sejak penubuhannya.

“Kemasukan kaum-kaum lain ke dalam DAP pun tidak dapat mengubahnya. Lihatlah peristiwa ini sebagai bukti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin berkata, jika papan tanda pun perlu ‘terjemahan’ tulisan Cina maka ini sesuatu yang sangat menyedihkan.

Katanya, lebih menyedihkan lagi ialah pemimpin-pemimpin politik parti itu sendiri menggalakkannya.

“Justeru, saya menyeru agar anak-anak Bumiputera khususnya di Sarawak agar tidak lagi ditipu dengan retorik-retorik DAP lagi. Pernahkah mereka memperjuangkan hak-hak anda sepanjang menjadi wakil rakyat anda? Tidakkah sedar yang mereka hanya memperjuangkan hak kaum mereka sahaja?

“Anak-anak Bumiputera jangan lupa yang mereka memang mahu hapuskan dasar hak Bumiputera sejak dulu lagi, seperti yang terkandung dalam Deklarasi Setapak 1967 dan mereka konsisten sampai sekarang!” katanya.

Terdahulu, sekumpulan ahli DAPSY Kuching menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di beberapa lokasi di pusat bandar raya antaranya Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

Tindakan itu mengundang pelbagai komen netizen – yang rata-ratanya marah dan menyifatkannya perbuatan biadab – kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan patut diutamakan.

Bagaimanapun, Pemuda DAP mendakwa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sudah menanggalkan pelekat berbahasa Cina daripada beberapa papan tanda jalan yang cuba ‘dikembalikannya’.

Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Julian Tan mendakwa beberapa papan tanda jalan di bandar itu mempunyai perkataan Cina dahulu.

“Perkataan Cina itu kemudiannya dipadamkan tanpa kita sedari. Itu sebabnya kita cuba mengembalikannya,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button