Berita Utama

2 laporan diterima dakwaan ‘beli’ polis

Seorang wanita dakwa seluruh balai polis PJ ‘dibeli’ suspek kes ugut

PETALING JAYA, 2 Muharram 1441H, Jumaat – Sebanyak dua laporan polis diterima susulan seorang wanita yang mendakwa suspek kes ugut berkaitan perebutan kuasa di sebuah kuil di Sea Park, ‘membeli’ polis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya telah memuat naik kenyataan berhubung kes ugutan berkenaan di Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

“Menerusi kenyataan dimuat naik itu, ada seorang wanita menulis di ruangan komen mendakwa seluruh balai Petaling Jaya ‘dibeli’ oleh suspek berusia 41 tahun berkenaan.

“Ekoran itu, suspek yang sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai reman kes berkenaan (ugut) membuat laporan polis berhubung dakwaan terbabit, semalam.

“Selain itu, kami juga menerima satu lagi laporan dibuat oleh orang awam di Brickfields, Kuala Lumpur berhubung dakwaan berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut membuka kertas inkuiri tatatertib berhubung perkara itu berdasarkan laporan polis dibuat.

“Kami sudah mengenal pasti identiti wanita berkenaan dan dia dijangka hadir ke IPD Petaling Jaya kira-kira jam 3 petang ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Tindakan ini adalah penting supaya kami dapat melakukan siasatan secara adil bagi kedua-dua pihak iaitu pihak yang mendakwa dan pihak yang didakwa,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Nik Ezanee memaklumkan perebutan kuasa sebagai pengerusi persatuan pengurusan di sebuah kuil di Sea Park, dipercayai menjadi punca pertelingkahan antara dua individu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau berkata, polis menerima laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa diugut seorang lelaki dikenalinya di tempat letak kenderaan awam berhadapan IPD Petaling Jaya jam 5.30 petang pada 18 Ogos lalu.

Katanya, hasil maklumat diterima, pihaknya menahan seorang lelaki serta dua pistol bersama lapan peluru bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, terdapat mesej tular menerusi Whatsapp yang mendakwa suspek terbabit dengan Geng 04, mengawal semua projek pembinaan, kelab malam, pusat urut dengan meminta wang perlindungan dan mendakwanya mendapat sokongan serta kerjasama pihak polis IPD Petaling Jaya dalam semua kegiatannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close