Berita Utama

3 pertubuhan mohon jadi pencelah cabar absahan sekolah vernakular

Dakwa punya kepentingan jika plaintif berjaya dalam kes saman

BANGI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Tiga pertubuhan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Peguam, T Gunaseelan yang mewakili Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil berkata, permohonan itu difailkan awal minggu ini.

Ketiga-tiga pertubuhan itu dalam permohonan berkata, mereka mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu dan akan menjadi pihak terjejas jika plaintif berjaya dalam saman.

Pengerusi Majlis Bahasa Cina, Heng Hong Chai; Pengerusi Persatuan Bahasa Tamil, R Permalu dan Pengerusi Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, M Kumaran juga mengesahkan afidavit untuk menyokong permohonan mereka.

Gunaseelan seperti dipetik portal FMT berkata, beliau juga akan memohon kes di Kota Bahru dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk didengar bersama tindakan serupa yang difailkan di ibu negara, jika permohonan menjadi pencelah oleh anak guamnya berjaya.

Sebelum ini, i-Guru memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu berkaitan keabsahan sekolah-sekolah vernakular.

Saman berkenaan difailkan terhadap Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia bagi mencabar Perlembagaan mengikut Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996.

I-Guru yang lantang mempertahankan pendidikan sekolah satu aliran mengarahkan barisan peguam Datuk Shahrudin Ali, Hannan Ishak, Faidhur Rahman Hadi, Nadia Aziz dan Nazira Rahim bagi mendapatkan keputusan berkait undang-undang di mahkamah.

Pada 8 Januari lalu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) juga memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), telah memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button