Berita Utama

9 kes COVID-19 direkodkan hari ini

5 daripada kes direkodkan adalah penularan tempatan

KUALA LUMPUR, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Sebanyak sembilan kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, melibatkan empat kes import dan lima kes penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 9,249 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan sebanyak 179 kes.

Menurut beliau, empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara iaitu dua kes di Kuala Lumpur (masing-masing dari Filipina dan Austria) serta dua kes di Selangor (masing-masing dari Indonesia dan India).

“Daripada lima kes penularan dalam negara, empat adalah warga Malaysia dan satu bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum pulang ke negara asal. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada empat kes melibatkan warga Malaysia, tiga dikesan di Kedah melibatkan Kluster Tawar manakala satu kes di Kuala Lumpur iaitu daripada kluster baharu dikenali Kluster Maju, katanya.

Beliau berkata 13 kes telah pulih daripada jangkitan itu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,945 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat jangkitan itu di negara ini kekal 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada keseluruhan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button