Berita Utama

Abdul Ghani Salleh dilantik Pengerusi SPR baharu

Pernah pegang jawatan sebagai Setiausaha SPR

PUTRAJAYA, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, manakala Datuk Nik Ali Mat Yunus sebagai Ahli SPR, masing-masing berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Abdul Ghani, 62, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha SPR.

Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Abdul Ghani dan Nik Ali sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani bersara wajib sebagai Setiausaha SPR pada 10 Mei 2018 dan pernah memegang beberapa jawatan sebelum itu antaranya Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Nik Ali, 62, pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018.

Mohd Zuki turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti mereka sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button