Bendera terbalik: Luahan rasa tidak puas hati kepada negara?
Semua perlu kembali kepada kontrak sosial, akur acuan negara ini
BANGI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Perbuatan songsang sebilangan kecil masyarakat memasang Jalur Gemilang secara terbalik disifatkan sebagai perbuatan ‘menganjing’ dan luahan rasa tidak suka kepada negara ini.
Bukan itu sahaja, tingkah laku berkenaan turut mempamerkan kegagalan pembinaan sebuah negara bangsa disebabkan wujud kumpulan tertentu yang menghasut demi agenda politik berhaluan kiri, dakwa Yang Dipertua ISMA Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor.
Dakwanya lagi, perkara diburukkan dengan kewujudan sekolah vernakular yang tidak patriotik, malah mendukung aliran pendidikan berbeza daripada arus perdana.
“Apakah jalan penyelesaian masalah ini? Tindakan undang-undang yang tegas? Ya, sebahagian penyelesaian masalah ini ialah dengan tindakan undang-undang.
“Seperti tindakan Ketua Polis Johor. Namun, ia bukan penyelesaian tuntas kerana ada juga pakar undang-undang yang menyatakan tidak ada undang-undang melarang pemasangan Jalur Gemilang terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Norman berkata, meskipun kenyataan itu tidak matang, tetapi ada pengamal undang-undang yang bersifat berkepentingan, malah sekiranya diadili di mahkamah sekalipun ada kemungkinan pelaku boleh terlepas tindakan.
“Justeru, penyelesaian terbaik ialah kita semua kembali kepada kontrak sosial yang dipersetujui dalam membina asas Perlembagaan negara. Akur kepada acuan negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Selagi perkara ini tidak diterima secara ikhlas selama itulah rasa tidak puas hati membengkak dalam diri. Sampai bila kita nak perkara ini berterusan. Sampai bila kita nak hidup dalam konflik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Norman menegaskan, pemasangan bendera Malaysia secara terbalik walau dengan apa alasan sekalipun adalah satu penghinaan kepada kedaulatan negara.
Katanya, tidak masuk akal bahawa ada rakyat yang tidak tahu kedudukan sebenar Jalur Gemilang, hatta pendatang asing tanpa izin sekalipun.
“Macam mana pendatang asing boleh berkeinginan untuk datang ke Malaysia kalau mereka tidak kenal bendera Jalur Gemilang lambang kedaulatan negara ini. Apatah lagi mereka yang lahir, hidup membesar dan mencari rezeki di tanah bertuah ini.
“Amat tidak bermoral jika ada yang menjawab perbuatan terkutuk itu tidak disengajakan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak pihak terbabit supaya insaf memandangkan semua pihak boleh hidup dengan aman dan selesa di negara ini dengan muafakat dari semua kaum tanpa berkiblatkan ke Timur atau Barat.
“Ketaatan kepada raja dan negara perlu diterjemahkan dalam konteks hidup dalam satu negara. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” kata beliau.
Minggu lalu, sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Kapar tular kerana menggantung Jalur Gemilang pada dinding secara terbalik.
Insiden sama juga turut berlaku di sekolah jenis kebangsaan di Kluang, Johor apabila bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik pada tiang bendera sekolah berkenaan.
Sebelum ini, tular lagi sekeping gambar apabila bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah restoran di Tawau, Sabah.