Berita UtamaPendapat

Dr Mahathir bakal jadi pemimpin tertua di dunia tubuhkan parti

Anak, kroni kaya-raya bolot projek besar Dr M, tidakkah itu rasuah?

MINGGU lalu terciptalah sejarah paling memalukan apabila dengan rasminya Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti politik baru bernama PEJUANG.

Anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Presiden, manakala Mahathir sendiri menjadi Pengerusi.

Kononnya parti baru ini adalah parti yang benar-benar akan ‘berjuang’.

2. Tun Mahathir, dikala usia ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’ masih lagi mahu menubuhkan parti dan berjanji yang parti barunya ini akan benar-benar berjuang dengan penuh ikhlas untuk satu matlamat.

Sifat juang Mahathir ini sewajarnya dipuji kerana tiada tandingan.

3. Di usia berbaki lagi 5 tahun akan mencecah satu abad, Tun Mahathir bakal menjadi pemimpin paling tua di dunia yang menubuhkan parti.

Beliau telah mencipta rekod dunia baru sebagai ‘Manusia Tertua Menubuhkan Parti’.

4. Tindakannya itu kerana menyahut ucapannya sendiri, apabila beliau pernah menyebut: “orang Melayu tidak pandai berpolitik, seronok hendak jadi Presiden aje” maka dengan sebab itu ditubuhnya parti PEJUANG.

Dan gementar semua parti lawan kerana sejak dahulu lagi di zaman mudanya Tun Mahathir sangat digeruni atas kelicikannya memanipulasi segala apa yang diperkatakannya sendiri.

5. Ramai juga yang berpendapat, tujuan Tun Mahathir menubuh parti adalah kerana mahu melawan Datuk Ser Najib Tun Razak khususnya dalam kes tuduhan rasuah, ketakutan menghantui Tun apabila mendapati DS Najib dilihat semakin hari semakin bertambah para penyokongnya.

Pertambahan bilangan fanclub DS Najib antara punca trauma yang menyebabkan Tun Mahathir bangkit meneruskan perjuangannya, atau dahulu Tun sering menjaja slogan ‘perjuangan masih belum selesai’.

6. Akhir-akhir ini Tun Mahathir lantang bersuara dengan slogan baru iaitu ‘penerimaan rasuah sebenarnya yang menghancurkan Melayu’. Katanya lagi, ‘rasuah oleh penyangak, musuh dan orang asing pun boleh menentukan siapa menjadi kerajaan Malaysia.

Apabila mereka menjadi kerajaan, nasib rakyat tidak lagi akan dilindungi oleh mereka dan sudah tentu Melayu akan jadi mangsa terbesar’.

Anehnya anak-anak dan kroni Tun menjadi kaya-raya apabila membolot hampir semua projek besar di zaman Tun. Tidakkah itu rasuah?

7. Tun Mahathir kata kuasa memilih terdedah kepada rasuah iaitu boleh dijual beli dan mereka yang mampu membeli, berpeluang untuk meletak calon serta menentukan kemenangan mereka, tetapi bukankah itu yang Tun lakukan apabila lambakan ahli UMNO tiba-tiba melompat masuk Parti Pribumi Bersatu (PPBM) sebelum ini?

8. Dalam ucapan Tun semasa penubuhan parti baru, Tun Mahathir terus-menerus mengulangi membidas DS Najib yang sudah kehilangan segala pangkat dan kedudukan baik dalam kerajaan mahupun dalam parti.

“Kita dapat lihat kerosakan yang dilakukan olehnya (Najib). Bukan sahaja duit kerajaan diselewengkan, tetapi jentera kerajaan dapat disalahguna supaya dia bebas dari sebarang tindakan. Maka akan hilanglah pemerintahan mengikut undang-undang. Tetapi yang paling kaya-raya ialah Tun Mahathir dan ahli keluarga Tun sendiri.

9. Di akhir ucapan Tun Mahathir menyerang kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sindiran: “Tetapi selepas kita berjaya guling kerajaan kleptokrat sekali lagi kita dibelenggu rasuah kerajaan,” dan dengan penuh hamburan fitnah dilemparkan dengan bertubi-tubi terhadap TS Muhyiddin dengan tujuan mahu menjatuhkannya dan naik semula sebagai Perdana Menteri bagi kali ketiga. Bala apakah yang sedang menimpa negara kita hari ini?

Haji Rashidi  Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button