Berita Utama

Orang politik henti buat ‘perangai’, kukuhkan saf demi Melayu

Kerajaan Melayu, Islam PN awalnya kukuh kini seolah sudah goyah

BANGI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Berhentilah bertelagah dan ‘buat perangai’, parti-parti Melayu digesa bersatu di bawah satu bumbung dalam membentuk politik baharu demi kelangsungan bangsa.

Gesaan itu disuarakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya susulan rasa bimbang dengan suasana politik negara, khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu kebelakangan ini.

Merujuk konflik dalaman yang berlaku antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau bimbang kemelut yang mencetuskan polemik itu berlarutan.

“Bermulanya dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN), kemudian pula dengan hasrat Bersatu untuk sertai Muafakat Nasional.

“Ditambah lagi dengan penolakan Presiden UMNO untuk menyertai PN jika ianya didaftarkan sebagai koalisi secara rasmi.

“Lebih menarik lagi apabila PAS pula bersetuju untuk menyertai Perikatan Nasional, sebagai kontra kepada keputusan UMNO,” katanya dalam kenyataan.

Haji Aminuddin berkata, pertikaian itu belum lagi mengambil kira parti-parti di dalam Gagasan Sejahtera seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan parti baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

“Apakah mereka ini akan terus diketepikan dan apakah akan terhasil gabungan lain kerana diketepikan?

“Bagi rakyat biasa di luar ruang lingkup parti politik, mereka memerhatikan keadaan ini dan memang memeningkan dan mengecewakan kerana melihat pendirian parti-parti Melayu yang mudah bertukar-tukar saban hari,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Melayu Islam – melalui Perikatan Nasional – yang terbentuk dan dilihat kukuh pada awalnya, kini seolah-olah semakin goyah.

“Apakah ini petanda atau bibit-bibit awal hayat kerajaan ini akan berakhir? Apakah jaminan Pakatan Harapan (PH) tidak akan memenangi PRU-15 jika berlakunya pilihan raya nanti, dengan keadaan sebegini?

“Bagi rakyat yang meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan ini untuk membuat perubahan pastinya akan berasa kecewa,” katanya.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan, sikap sombong dan besar diri semakin menebal dalam kalangan segelintir pemimpin, bahkan menganggap ‘wabak’ itu sudah berjangkit secara perlahan.

“Walaupun hanya enam bulan memerintah, mereka seolah-olah lupa pada zaman kegelapan 22 bulan dahulu di mana hasil dari kekalahan mereka sendiri. Mengapa jadi begini?

“Rendahkanlah diri, lapangkan dada dan luaskan pemikiran. Jangan terlalu ikutkan emosi dan amarah diri. Insya-Allah, saya yakin rakyat akan bersama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button