Berita UtamaIstimewa

Papan tanda Cina: Ingat, ini bukan negara komunis China!

Perbuatan biadab DAP ekstremis, langgar Perlembagaan Persekutuan

BANGI, 2 Muharram 1442H, Jumaat –  Perbuatan biadab Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak meletakkan karektor tulisan Cina di papan tanda jalan – yang sudah tertera bahasa Melayu – dianggap sangat ekstremis dan provokatif.

Malah, tindakan itu juga langsung tidak menghormati tiga teras negara iaitu Islam, Melayu dan Raja-Raja, kata Ketua Perhubungan Negeri (KPN) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Haji Mohd Khoushaini Mohd Naim.

Mengecam perbuatan parti rasis berkenaan, beliau berkata, tindakan DAP itu bukan hanya mencemarkan sambutan Awal Muharram dan bulan kemerdekaan negara, bahkan melanggar Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

“Pihak kami bimbang jika tiada sebarang tindakan diambil, maka ketegangan dalam negara boleh terjadi.

“Rakyat telah lama menolak slogan palsu Malaysian Malaysia laungan DAP. Ingat, ini bukan negara komunis China!,” tegasnya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, tular gambar beberapa ahli DAPSY Sarawak menampal pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya itu – atas alasan perlu diterjemahkan dalam bahasa berkenaan untuk keperluan pelancong dari China.

Menerusi satu hantaran di Facebook DAP Sarawak, ia melibatkan papan tanda di tiga jalan utama iaitu Jalan Main Bazar, Wayang Street dan Jalan Greenhill.

Tindakan parti itu mengundang pelbagai komen netizen – yang rata-ratanya marah dan menyifatkannya perbuatan biadab – kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan patut diutamakan.

Mohd Khoushaini berkata, perbuatan parti tamak haloba itu membuktikan DAP konsisten tidak suka kepada Melayu dan Islam sebagai identiti di negara ini.

Katanya, sikap itu juga telah ditonjolkan DAP ketika mencatur kerajaan Pakatan Harapan – yang hanya bertahan selama 22 bulan – dengan pelbagai isu yang mengguris hati rakyat seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menghina tulisan Jawi.

“Baru-baru ini, DAP telah bangun membantah papan tanda tulisan Jawi di Pahang.

“Mereka mencabar arahan Majlis Raja-Raja yang mahu Jawi disuburkan kembali, selang beberapa minggu selepasnya mereka menaikkan papan tanda tulisan Cina pula di Pulau Pinang sebagai reaksi balas terhadap tindakan kerajaan Pahang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan DAP mempersoalkan tulisan jawi juga seolah-olah parti itu menyeru kepada perpecahan kaum dan bersikap rasis.

Justeru, ISMA Melaka menggesa kerajaan mengambil tindakan yang lebih tegas kali ini ke atas perbuatan parti berkenaan.

“Rakyat diingatkan supaya tidak lagi tertipu dengan parti tamak haloba DAP ini. Rakyat diminta terus bangkit mempertahankan identiti negara dan isu-isu umat Islam.

“Jangan kita leka dan tidur lena lagi, sedarlah bahawa agama dan bangsa kita sedang dihina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button