Berita Utama

Petisyen tukar nama Bukit Melaka cecah 17,000 tandatangan

Pemuda ISMA mahu bangkitkan semangat perjuangan masyarakat

BANGI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Setakat jam 7 malam tadi, petisyen atas talian ‘Rakyat Sokong Kembalikan Nama Asal Bukit Melaka’ berjaya mengumpulkan 17,240 tandatangan.

Petisyen yang dilancarkan Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu bagi mengembalikan semangat kemerdekaan masyarakat kepada perjuangan membebaskan tanah air yang telah dimulakan oleh pejuang-pejuang lampau sejak 500 tahun lalu.

“Hal ini kerana, Pemuda ISMA melihat semangat perjuangan kian hari makin menipis dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pemuda dek kerana hilang asbab dan sumber perjuangan.

“Atas dasar itu, Pemuda ISMA membawa slogan ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’ yang bertepatan dengan tuntutan kemerdekaan dalam menyeru anak muda ke arah penghayatan dan pembangunan jati diri perjuangan yang sebenar.

“Slogan ini ke arah membawa naratif Tanah Melayu sebagai syiar ketamadunan bangsa Melayu. Justeru, pengembalikan nama tempat atau tanah kepada nama asalnya akan menghubungkan generasi kini dengan generasi silam,” katanya dalam satu kenyataan.

Isnin lalu, ISMA Melaka menyerahkan petisyen sokongan kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) – yang mendapatkan 16,388 tandatangan rakyat Malaysia.

Petisyen setebal 190 muka surat itu adalah tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap cadangan PERZIM mengembalikan semula nilai sejarah bukit berkenaan, yang awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Petisyen itu dilancarkan secara atas talian di laman web change.org pada 19 Julai lalu, dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Sebelum ini, MCA Kota Melaka antara pihak yang membantah usul menukar nama Bukit St Paul menjadi Bukit Melaka.

Naib pengerusinya, Datuk Ronald Gan mendakwa, Bukit St Paul harus kekal seperti yang telah diketahui selama ini.

“Tidak masuk akal untuk mengusulkan agar nama ikon sejarah itu diubah. Adakah kita akan menukar nama replika Galleon Portugis Flor de la Mar di Bandar Hilir juga,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button