Berita UtamaUncategorized

Polis serbu kondominium jadi pusat judi dalam talian

21 telefon, komputer riba, wang tunai RM2,773 antara dirampas

PETALING JAYA, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian pada serbuan di sebuah unit kondominium di Ara Damansara, di sini semalam.

Enam monitor komputer, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, satu set ‘router’ dan wang tunai berjumlah RM2,773, adalah antara barang yang dirampas dalam serbuan itu.

Mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 pagi semalam itu adalah rakyat tempatan berumur antara 20 dan 24 tahun, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kumpulan itu beroperasi sejak sebulan lepas melalui iklan dan pertaruhan di Facebook atau WhatsApp, dengan hasil kutipan perjudian antara RM3,000 dan RM5,000 sehari.

“Ketika serbuan, polis mendapati beberapa skrin komputer memaparkan kegiatan perjudian dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, 11 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam judi loteri awam tanpa lesen dan perjudian dalam talian pada serbuan di sebuah gerai makan di Taman Medan, di sini.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 46 tahun itu ditahan dalam operasi pada pukul 6 petang semalam dan polis merampas 11 telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, serta wang tunai berjumlah RM368.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan sejak dua bulan lepas dan beroperasi dengan pembelian menggunakan aplikasi WhatsApp. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button