Berita UtamaDunia

UAE akan buka kedutaan di Tel Aviv

Menteri Luar UAE dakwa perjanjian dengan Israel beri keuntungan jangka panjang

ABU DHABI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Selepas mengadakan perjanjian normalisasi dengan negara haram Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini memutuskan untuk membuka kedutaannya di Tel Aviv.

Keputusan itu diumumkan Menteri Luarnya, Anwar Gargash pada sidang video semalam, lapor Agensi Anadolu.

“Abu Dhabi akan memiliki kedutaannya di Tel Aviv berdasarkan konsensus antarabangsa untuk penyelesaian dua negara,” katanya.

Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan perjanjian antara Israel dan UAE untuk menormalkan hubungan – yang didakwa mengkhianati perjuangan Palestin.

UAE adalah negara Teluk pertama dan negara Arab ketiga yang membentuk hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir dan Jordan.

Walaupun ada laporan mendakwa kesepakatan itu menghentikan rancangan Israel memperluaskan penjajahan di Tebing Barat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan komitmen Tel Aviv untuk meneruskannya

Ketika ditanya mengenai pencapaian yang bakal dicapai dalam perjanjian itu, Anwar berkata: “Pencapaian paling ketara adalah dengan menghentikan perluasan penempatan di tanah Palestin, dan mengulangi komitmen UAE untuk penyelesaian dua negara,”

Sementara itu, pemimpin Yahudi, Benjamin Netanyahu bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bersetuju untuk menangguh perluasan dan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki sebagai sebahagian daripada kesepakatan perjanjian itu.

Anwar berkata, perjanjian itu memberi keuntungan dalam jangka masa panjang.

“Ekonomi kita lebih besar daripada ekonomi Israel. Israel mempunyai peluang besar di sini (di UAE),” katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu juga membuka peluang kepada UAE untuk membeli jet pejuang F-35 dari AS.

“Permintaan pertama kami adalah enam tahun yang lalu. Dan ia dibincangkan ketika mesyuarat,” katanya sambil menambah bahawa permintaan itu tiada kaitan dengan perjanjian berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button