Berita Utama

Warga Perancis bergelang merah jambu jalani kuarantin di klinik

Tidak dibenarkan kuarantin di rumah sewanya di Pantai Chenang

LANGKAWI, 2 Muharram 1442H, Jumaat – Lelaki warga Perancis yang dikesan memakai gelang berwarna merah jambu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Langkawi, petang semalam, telah diarah untuk menjalani kuarantin di Klinik Kesihatan Ayer Hangat, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Warga Perancis itu telah dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Hangat untuk kuarantin dan tidak dibenarkan kuarantin di rumah sewanya di Pantai Chenang,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikesan memakai gelang berwarna merah jambu, ketika tiba di LTAB Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia menjalani saringan COVID-19 di KLIA sejurus tiba dari Doha, Qatar, dan susulan keputusannya negatif, lelaki terbabit dibenar menjalani kuarantin di rumah sewanya di Langkawi.

Lelaki itu juga diarah bertemu dengan pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kedah pada 1 Sept, sebelum dijadual untuk menjalani ujian calitan kali kedua pada keesokannya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button