Berita Utama

Bukit Melaka: Contohi keberanian Erdogan tukar status gereja

Apa ditunggu, bola telah berada di tangan kerajaan negeri Melaka

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Muharram 1442H, Sabtu – Setelah menyaksikan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan mengarahkan sebuah lagi gereja lama Ortodok diubah menjadi masjid, rakyat Malaysia kini ternanti-nantikan langkah kerajaan dalam isu penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual berkata, majoriti rakyat Turki menyokong penuh kepimpinan Presiden Turki itu, namun di Malaysia masih ramai yang selesa dengan naratif penjajah terhadap negara ini.

“Adakah kita masih takut dengan bayang-bayang penjajah? Adakah kita masih takut dengan bayang-bayang musuh?

“Adakah kita masih takut dengan suara cemuhan golongan yang tidak bersetuju? Tepuk dada tanya selera,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Memuji tindakan Erdogan, Soufi pada masa sama turut menyifatkan tokoh itu sebagai pemimpin yang hebat, berprinsip, berani dan tegas dalam meninggikan martabat bangsanya.

Meskipun ada yang mencemuh, namun itu tidak mematahkan semangat perjuangannya, tegas Ketua Kempen Kembalikan Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah itu.

“Malahan ramai yang menyokong dan bersetuju dengan keputusan besar yang dibuat oleh beliau. Kerana itulah yang dinantikan oleh bangsa merdeka Turki.

“Lalu bagaimana kita di Malaysia. Bola telah berada di tangan kerajaan negeri Melaka. Sama ada hendak jaringkan ke gol lawan ataupun gol sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ISMA percaya usaha mengembalikan nama asal Bukit Melaka ini mampu dilaksanakan.

“Deretan fakta sejarah menyokong nama asal Bukit Melaka. Tidak ada salahnya pada usaha untuk menaikkan darjat dan martabat bangsa sendiri.

“Maka apa lagi yang ditunggu-tunggu? Ayuh ini masanya. Kita bagi jadi!,” tegasnya.

Semalam, Erdogan mengarahkan sebuah lagi gereja lama Ortodok yang kemudiannya menjadi muzium popular di Istanbul, diubah semula menjadi masjid bagi kegunaan umat Islam beribadat di negara itu.

Keputusan mengubah Muzium Kariye kepada masjid dibuat hanya sebulan selepas kontroversi sama membabitkan transformasi Hagia Sophia menjadi masjid.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close