Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

COVID-19: 8 kes direkodkan hari ini, 5 penularan tempatan

3 kes import jangkitan luar negara libat seorang warganegara

PUTRAJAYA, 3 Muharram 1442H, Sabtu – Sebanyak lapan kes baharu COVID-19 yang melibatkan lima kes penularan dalam negara dan tiga kes import dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus berkenaan sebanyak 9,257 kes dengan kes aktif kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 183 kes.

Katanya tiga kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara itu melibatkan seorang rakyat Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Tiga kes import tersebut adalah dari Bangladesh (di Kuala Lumpur), Belanda (di Sarawak) dan Filipina (di Sabah).

“Kesemua lima kes penularan di dalam negara pula melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak empat kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sebanyak 8,949 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata tiada kes kematian berkaitan virus itu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kekal 125 kes.

Sehingga kini, lapan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Memperincikan Kluster Tawar di Kedah, ketua pengarah kesihatan itu berkata dengan lima kes baharu dilaporkan bagi kluster itu menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 adalah sebanyak 63 kes.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, katanya, seramai 2,942 orang telah disaring dalam kluster ini dan pengesanan kes serta saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button