Berita Utama

Di antara dua darjat! Khairuddin patut kena hukuman lebih berat

Keputusan KKM tak adil, ada elemen campur tangan politik

BANGI, 3 Muharram 1441H, Sabtu – Tindakan kompaun yang dikenakan terhadap Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana melanggar arahan kuarantin disifatkan sebagai tidak adil dan mempunyai elemen campur tangan politik.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu sepatutnya dikenakan tindakan lebih berat daripada rakyat atas kesalahannya.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warganegara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin hanya dikompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga hanya memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kegagalan mematuhi SOP dan mahu memulangkan gaji sebagai menteri dari bulan Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).

Mengulas tindakan berkenaan, Ustaz Abdullah Zaik mendakwa, terdapat elemen campur tangan politik dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap menteri sehingga menjadikan ia sama sekali tidak adil.

“Tak betul tu apa yang dilakukan Mohd Khairuddin, kerajaan mesti ambil tindakan ikut undang-undang. Kenapa dia tidak disiasat dan dihadap ke mahkamah sama seperti rakyat yang lain? 

“Boleh ke lari daripada undang-undang dengan cara derma?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mohd Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. 

Ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki. 

Malah, Teresa berkata, sekiranya diperhatikan dari status yang dimuat naik ke laman sosial Facebooknya, Mohd Khairuddin didapati melawati beberapa buah negeri di antara 8 sehingga 22 Julai iaitu tempoh sepatutnya beliau menjalani kuarantin wajib.

Katanya lagi, Mohd Khairuddin telah menghadiri 12 program dan mesyuarat sepanjang 14 hari beliau sepatutnya dikuarantinkan selepas pulang dari Turki.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close