Berita UtamaIstimewa

Siasat dalang Al Jazeeera, agenda Kristianisasi apa cuba dibawa?

Malaysia ibarat syurga PATI, ada lebih kaya daripada penduduk asal

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Laporan Al Jazeera yang menjejaskan imej Malaysia wajar dijadikan asas untuk mengambil tindakan dan menangkap warga tempatan yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, dalang di sebalik kegiatan itu dan pendatang asing tidak wajar lagi dilindungi kerana ‘sudah diberikan betis mahukan peha’.

Sarannya, mereka yang bersekongkol termasuk pihak berkuasa mesti diambil tindakan, sementara PATI yang masuk negara mesti dihantar kembali ke negara asal daripada menyusahkan pihak berkuasa.

“Siasat siapa dalang di sebalik laporan berat sebelah ini termasuk rakyat tempatan yang menyeludup PATI. Pihak berkuasa mesti menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Al Jazeera, atas laporan layanan buruk Malaysia terhadap PATI ketika wabak COVID-19 melanda.

“Laporan itu ternyata amat berat sebelah dan tidak mustahil didalangi oleh pihak tertentu yang cemburu dengan pendekatan terbaik Malaysia, sehingga diiktiraf dunia, dalam menangani wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau menegaskan sekiranya agensi berita antarabangsa itu berniat baik, sudah tentu menemubual pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Imigresen polis dan sebagainya.

“Ini tidak, fokusnya lebih kepada kehidupan PATI, ketika semua warga berada dalam ketakutan wabak COVID-19. Mana tidak nampak negatif. Lebih-lebih lagi ketika serbuan, tindakan dan penguatkuasaan dilakukan bagi mengelakkana wabak merebak.

“Nama pun PATI, cukuplah Malaysia sediakan segala peluang pekerjaaan untuk mereka, takkan nak dilayan dengan layanan kelas pertama. Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hanya kerana beberapa insiden kecil, maka Malaysia ditonjolkan sebagai sebagai negara yang kejam dan zalim terhadap PATI.

“Dalam kata lain, dalam 1,000, satu kelemahan, menenggelam 999 kebaikan. Ini sangat tidak adil. Ternyata mereka ini ada agenda jahat di sebalik ini,” katanya lagi.

Pada masa sama, Dr Ridhuan Tee hairan apabila Al Jazeera tidak menonjolkan dan menemubual pihak yang terbabit memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk PATI ketika COVID-19.

“Begitu juga dengan banyak lagi organisasi lain, kenapa bantuan mereka terhadap PATI langsung tidak diberikan liputan meluas dalam video Al Jazeera? Tidak pula ditonjolkan organisasi atau NGO Islam yang membantu?

“Sebaliknya lebih menonjolkan individu yang bernama Alex? Kenapa Alex? Bukan Ali? Apa tujuan semua ini? Agenda Kristianisasi apa yang cuba dibawa?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Al Jazeera tidak membuat perbandingan dengan negara-negara lain yang melayan PATI.

“Jawapannya, mudah, Malaysia ibarat syurga bagi PATI, sehingga kadangkala mereka jauh lebih kaya daripada penduduk asal itu sendiri. Memang tidak boleh salahkan PATI jika mereka kaya, kerana mereka berusaha. Tetapi kenapa nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Dokumentari itu mendapat cemuhan rakyat yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

https://ismaweb.net/2020/07/07/laporan-al-jazeera-berniat-jahat-didalangi-pihak-tertentu/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button