Berita UtamaDunia

Ditahan tanpa tuduhan, 3 rakyat Palestin mogok lapar

Bantah keputusan Israel dipenjarakan atas penahanan pentadbiran

BAITULMAQDIS, 3 Muharram 1442H, Sabtu – Tiga tahanan Palestin yang dipenjarakan di Pusat Tahanan Ofer di Ramallah melancarkan mogok lapar, lapor agensi berita Wafa.

Mogok berkenaan bagi membantah keputusan penahanan pentadbiran yang dikenakan ke atas mereka.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan mengumumkan Maher al-Akhras, Mohammad Wahdan dan Musa Zahran berada di bawah tahanan pentadbiran, di mana sistem Israel membenarkan menangkap serta menahan seseorang tanpa sebarang tuduhan dalam jangka masa panjang.

Maher, 49, yang juga seorang bapa kepada enam orang anak berasal dari bandar Silat ad-Daher di Selatan Jenin telah mogok lapar selama 25 hari berturut-turut.

Beliau kini berada dalam keadaan kritikal dan didiagnosis menderita darah tinggi pada tahun 2018, selain mengalami penurunan berat badan ketara.

Selain itu, Wahdan yang berasal dari desa Rantis, di Barat Laut Ramallah melakukan mogok lapar selama 16 hari berturut-turut.

Beliau memulakan mogok ketika berada di pusat tahanan Israel Huwara, di Selatan Nablus, sebelum dipindahkan ke Ofer.

Sementara, Musa yang berasal dari Ramallah telah melakukan mogok lapar selama lima hari berturut-turut.

Dua hari selepas mogok, beliau telah ditempatkan di dalam penjara.

Ribuan warga Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak telah ditahan selama-lamanya di pusat tahanan atas tahanan pentadbiran selain dituduh melakukan jenayah.

Bulan lalu, laporan kumpulan hak asasi mendedahkan bahawa Israel mengeluarkan 98 perintah penahanan pentadbiran, termasuk 33 perintah baharu dan 65 lagi perintah lanjutan penahanan.

Kumpulan hak asasi menyatakan, jumlah tahanan Palestin di dalam penjara Israel mencapai 4.500 menjelang Julai 2020, termasuk 41 wanita, 160 kanak-kanak dan 360 di bawah tahanan pentadbiran.

Kumpulan hak asasi menggesa Israel membebaskan kesemua tahanan yang sakit serta wanita dan kanak-kanak.

Malah, kumpulan itu turut menyeru Palang Merah Antarabangsa meningkatkan jumlah kakitangan dalam pasukannya di wilayah yang diduduki serta membantu keperluan keluarga warga Palestin yang ditahan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button