Berita Utama

Lagak DAP seperti berkerajaan, banyak isu sensitif dilanggar

Teruk sangatkah sampai perlu papan tanda bahasa Cina?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Muharram 1441H, Sabtu – Parti rasis dan cauvinis, DAP diingatkan untuk tidak cuba mewujudkan situasi kerajaan dalam kerajaan, seolah-olah kuasa politik mereka boleh melanggar Perlembagaan, hak raja-raja Melayu serta pihak berkuasa.

Menegaskan perkara itu, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat berkata, orang Cina di Malaysia harus menghormati hak ketuanan dan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan, sebagaimana di negara China, di mana kerajaan mahu bahasa mereka dihormati.

Justeru, beliau menegaskan, DAP dan orang Cina perlu faham serta menghormati bahasa kebangsaan jika mahu menjadi rakyat di Malaysia.

“DAP dan bangsa Cina kena hormati sejarah tanah Melayu ini, hormati bangsa peribumi, agama dan bahasa Melayu seperti termaktub dalam perkara 152 dan 153 Perlembagaan negara.

“DAP mestilah hormat Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, mesti akur dengan perintah Agong untuk memelihara tulisan Jawi dan bahasa kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar raya Kuching yang tular, kelmarin.

Tindakan yang menerima kritikan ramai itu dilakukan di beberapa lokasi antaranya Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

Mengulas lanjut, Ustaz Masridzi berkata, tindakan rasis kumpulan berkenaan adalah bukti jelas mereka membawa agenda jahat kepada keharmonian kaum dalam negara ini.

“Teruk sangatkah keadaan orang Cina di Malaysia kerana sudah hampir 63 tahun merdeka mereka masih tidak boleh berbahasa Malaysia sehingga terpaksa menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan raya,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Majlis Raja-Raja Melayu, pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bertegas menghapuskan serta menyekat perbuatan berkenaan.

Ini kerana, katanya, ia jelas melanggar prinsip Perlembagaan negara, kontrak sosial, ketaatan kepada raja dan mencabar pihak berkuasa.

“Malah, ia juga boleh mencetuskan permusuhan dan merosakkan keharmonian kaum dalam negara kita ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close