Berita Utama

PRK DUN Slim: SPR galak undi ikut masa dicadangkan

Elak berkumpul dalam jumlah ramai, hindar penularan COVID-19

TANJUNG MALIM, 3 Muharram 1442H, Sabtu – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada kad pengundi masing-masing.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata ia bagi mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal di pusat mengundi.

Beliau berkata pengundi yang telah menerima kad pengundi atau mengetahui maklumat pengundian tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR, sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi.

“Para pengundi yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan boleh dibuat melalui portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my ; Hotline SPR di talian 03-88927018; Aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAK NO.KAD PENGENALAN).

Ikmalrudin juga mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi membantu kelancaran proses pengundian.

Bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran agar mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button