Berita Utama

ADUN DAP langgar SOP: Pihak berkuasa dirayu tak pilih bulu

Apakah undang-undang hanya untuk marhaen, tapi kebal untuk wakil rakyat?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Pihak berkuasa diharap tidak bersikap ‘pilih bulu’ dalam mengendalikan isu pemimpin mahupun ahli politik yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Ini termasuk kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang didakwa melanggar SOP ketika menyambut ulang tahun kelahiran di pantai sebuah resort, Sepang baru-baru ini. 

Young Syefura atau juga dikenali sebagai Rara telah menyiarkan gambar sambutan ulang tahun kelahiran di akaun Instagramnya sebelum gambar itu dipadamkan.

Gambar itu dilaporkan menunjukkan Syefura bersama empat orang tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, Syefura dikatakan telah memohon maaf dan bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakannya melanggar SOP.

Mengulas isu berkenaan, Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berkata, sekiranya Syefura tidak didakwa, jelas menunjukkan penguatkuasa di negara masih di tahap lemah dan rendah. 

“Saya hanya harapkan pihak berkuasa tidak berat sebelah atau ‘pilih bulu’. Tak kira sama ada individu daripada kerajaan yang mentadbir atau pihak pembangkang, mesti diambil tindakan.

“Perlu diambil berat kerana perkara ini melibatkan integriti dan kepercayaan rakyat kepada perundangan Malaysia, yang dilihat semakin hari semakin longgar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai isu Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar perintah kuarantin 14 hari, selepas pulang daripada lawatan ke Turki pada 7 Julai lalu.

Khairuddin telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi peraturan berkaitan pencegahan COVID-19 dan berinisiatif memulangkan semula gajinya selama empat bulan iaitu dari Mei hingga Ogos. 

Bagaimanapun, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Khairuddin dipertikai dan dibandingkan dengan kes-kes ingkar kuarantin sebelum ini yang dikenakan denda lebih tinggi, didakwa di mahkamah, malah ada sehingga dipenjara.

“Saya juga hairan apabila ada Ahli Parlimen yang kononnya menyerahkan gaji sebagai tanda minta maaf. 

“Atau saya mungkin tidak perasan bahawa undang-undang Malaysia hanya untuk marhaen dan kebal untuk semua wakil rakyat?

“Seruan saya kepada rakyat Malaysia, marilah kita jaga diri kita bersama kerana majoriti wakil rakyat sudah tidak menjaga kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button