Berita Utama

12 masjid di DUN Sanglang, Simpang Empat, Guar Sanji dibuka semula

Ditutup lebih 2 minggu susulan penularan COVID-19 di Perlis

ARAU, 4 Muharram 1441H, Ahad – Dua belas buah masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji yang ditutup lebih dua minggu sejak 7 Ogos lepas, susulan penularan wabak COVID-19 di Perlis, dibuka semula hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pembukaan semula masjid berkenaan bagi membolehkan orang ramai kembali menunaikan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti pengimarahan termasuk kuliah agama, mulai waktu solat Zohor.

“Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat, agar sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan kerana kita semua masih berada dalam suasana berjaga-jaga kerana wabak ini (COVID-19) masih lagi berada bersama kita,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah meminta pihak pengurusan masjid sentiasa bersiap siaga dan membuat persiapan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan jika ada keperluan untuk menutup semula masjid.

Pada 7 Ogos lepas, MAIPs mengarahkan semua 12 buah masjid di tiga DUN berkenaan ditutup berikutan pertambahan kes baharu COVID-19 di Perlis.

Kerajaan juga telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di dua kampung di Kuala Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula 10 ogos hingga 31 Ogos.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 9,257 jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini dan Perlis merekodkan 31 kes tanpa penambahan kes baharu sejak 16 Ogos. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button