China lulus ujian vaksin ke atas manusia
Vaksin COVID-19 guna sel serangga untuk tumbuhkan protein

BEIJING, 4 Muharram 1441H, Ahad – China meluluskan ujian vaksin coronavirus yang berpotensi untuk dijalankan ke atas manusia, kata pemerintah tempatan di kota Barat Daya Chengdu.
Vaksin itu yang dikembangkan oleh Hospital China Barat Universiti Sichuan di Chengdu, telah mendapat persetujuan dari Pentadbiran Produk Perubatan Nasional untuk memasuki fasa percubaan klinikal.
Menggunakan sel serangga bagi menumbuhkan protein untuk vaksin coronavirus – yang pertama di China – ia dipercayai mampu mempercepatkan pengeluaran secara besar-besaran, kata pemerintah kota Chengdu dalam notis di media sosial WeChat.
Semasa diuji ke atas monyet, vaksin berkenaan terbukti mencegah jangkitan SARS-CoV-2 tanpa kesan sampingan jelas.
Dalam perkembangan sama, saintis China memimpin sekurang-kurangnya lapan vaksin coronavirus berpotensi lain yang telah memasuki peringkat ujian klinikal berbeza.
Penyaing asing seperti BioNTech Jerman dan Inovio Pharma dari Amerika Syarikat (AS) kini bekerjasama dengan firma tempatan untuk menguji vaksin eksperimen mereka di China.
Penyelidik China telah memulakan percubaan fasa kedua ke atas manusia, kata Institut Biologi Perubatan di Akademi Sains Perubatan Cina (IMBCAMS) dalam usaha untuk menilai keberkesanan dan keselamatan lebih lanjut.
China kini secara global berlumba untuk menghasilkan vaksin dengan kos efektif bagi mengekang wabak COVID-19. – Agensi