Berita Utama

COVID-19: 10 kes baharu direkod hari ini

8 daripada kes adalah import selebihnya penularan tempatan

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1442H, Ahad – Sebanyak 10 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan lapan kes import dan selebihnya kes penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 9,267 kes, dengan kes aktif kebolehjangkitan berjumlah 183 kes.

Dr Noor Hisham berkata lapan kes import yang dilaporkan membabitkan tiga warga tempatan dan lima bukan warganegara.

“Lapan kes import tersebut adalah dari negara Jepun dengan tiga kes di Sarawak, Indonesia dengan tiga kes (dua kes di Selangor dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Republik Maldives dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Mexico dengan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kedua-dua kes penularan di dalam negara melibatkan warga Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 10 kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sebanyak 8,959 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut bagi virus itu kekal 125 kes.

Katanya sehingga kini, sembilan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai perincian Kluster Tawar, Kedah, Dr Noor Hisham memaklumkan dua kes baharu bagi kluster tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 Kluster Tawar meningkat kepada 65 kes.

“Sehingga hari ini jam 12 tengah hari, seramai 3,286 orang telah disaring dalam kluster ini. Di Kedah seramai 2,758 disaring dengan 54 kes dikesan positif manakala 2,362 individu negatif dan 342 individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang, seramai 517 disaring dengan 11 kes dikesan positif manakala 506 individu negatif. Di Perak pula, kesemua 11 saringan adalah negatif dan tiada saringan baharu,” katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Alam, Sarawak, tiga kes baharu telah dilaporkan dalam kluster ini dan sejumlah 27 orang telah disaring sehingga pukul 12 tengah hari, hari ini.

“Daripada jumlah ini, tujuh kes dikesan positif manakala 18 individu negatif dan dua individu masih menunggu keputusan,” jelasnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button