Langgar SOP: Pemimpin bersalah usah marah jika rakyat bising
Pemimpin kena lakukan perkara betul, 'respect is earned not given'
BANGI, 4 Muharram 1441H, Ahad – Kesalahan yang dilakukan oleh seorang pemimpin tidak boleh disamakan dengan kesalahan rakyat marhaen, kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.
Ini kerana, katanya, kesalahan kedua-dua pihak ini meskipun sama namun ia memberi kesan berbeza daripada sudut sosial.
“Pemimpin hisap vape dan rokok atau langgar kuarantin, jangan disamakan dengan marhaen yang perangai serupa hanya kerana pemimpin itu dari parti kita.
“Hukuman ke atas individu dan individu yang lain tidak semestinya sama walaupun kesalahannya kelihatan serupa, kerana melibatkan banyak faktor dari sudut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga menegaskan, sudah menjadi tanggungjawab rakyat untuk memantau tingkah laku pemimpin.
Bahkan, Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab pernah mengingatkan perkara sama dalam ucapan sulung mereka ketika diangkat menjadi Khalifah.
“Jadi, pengikut pemimpin jangan marah rakyat (netizen) yang bising, malah sepatutnya bersyukur dan berterima kasih.
“Pemimpin pula kena buat benda betul atau tak perlu cakap apa-apa. Integriti. Ketulusan. Respect is earned, not given,” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Pada Selasa, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak melakukan kuarantin 14 hari selepas pulang dari kunjungan ke Turki.
Ekoran itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dikritik banyak pihak kerana mengingkari arahan kuarantin seperti yang digesa oleh pihak berkuasa supaya melakukannya khusus kepada mana-mana warganegara Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.