Berita Utama

Langgar SOP: Polis buka kertas siasatan terhadap Khairuddin

Gagal patuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1442H, Ahad – Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali apabila gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki 7 Julai lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 27 laporan polis diterima berhubung perkara itu dari seluruh negara setakat ini.

“Polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap Khairuddin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Beliau sudah menjelaskan kompaun itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kompaun RM1,000 dikenakan pihaknya terhadap Khairuddin adalah berasingan daripada siasatan dijalankan polis.

Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel “nasopharyngeal swab” kali pertama diambil pada hari sama dan didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali ke-2 dan ke-3 juga menunjukkan keputusan negatif.

Sebelum ini, ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa, Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari kunjungan ke Turki.

Berikuatan itu, Khairuddin yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, khasnya mengingkari arahan kuarantin bagi warga Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Khairuddin memberitahu beliau akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button