Berita Utama

Langgar SOP: Tiada siapa lebih besar dari undang-undang

Kompaun ke atas menteri tidak memadai kerana libat isu kesihatan

BANGI, 4 Muharram 1442H, Ahad – Meskipun tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, ramai masih tidak berpuas hati dengan kadar kompaun yang dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pengasas Gabungan Peguam Malaysia (MLC), Lukman Sheriff Alias berkata, ramai melihat kadar kompaun dikenakan ke atas menteri berkenaan tidak memadai dan mencukupi.

“Walaupun tindakan undang-undang yang diambil terhadap menteri menunjukkan ‘no one is above the law’, ramai melihat kompaun tidak memadai dan mencukupi.

“Isu kesihatan adalah satu isu berat bagi rakyat dan semua patut dikuarantin, kecualilah itu dikawal selia oleh KKM (Kementerian Kesihatan) dengan ketat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas menerima 27 laporan dari seluruh negara, kerana kegagalan beliau mematuhi kuarantin wajib di rumah.

Mohd Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel nasopharyngeal swab kali pertama diambil pada hari sama dan didapati negatif. 

Ujian saringan COVID-19 kali ke-2 dan ke-3 juga menunjukkan keputusan negatif.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari kunjungan ke Turki.

Berikutan itu, beliau dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, khususnya mengingkari arahan kuarantin bagi warga Malaysia yang pulang ke tanah air.

Semalam, KKM dalam kenyataan memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Mohd Khairuddin memberitahu akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button