Berita Utama

Guna istilah Ilahi, cubaan pemimpin DAP normalisasi pluralisme

Seolah-olah ada usaha tersirat untuk tentang identiti kenegaraan

BANGI, 5 Rejab 1445H, Rabu – Ciapan Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming di aplikasi X sempena perayaan Hari Ponggal menggunakan nama Ilahi sangat tidak mengormati sensitiviti masyarakat Malaysia yang beragama Islam khususnya orang Melayu.

Setiausaha Agung Majlis Ulama Isma (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, penggunaan perkataan Ilahi jelas mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam.

Katanya, tindakan Nga Kor Ming seolah-olah cuba untuk menormalisasikan pluralisme atau menukarkan identiti negara ini yang sedia ada iaitu Islam sebagai agama persekutuan.

“Usaha normalisasi tersebut seakan-akan menggambarkan bahawa tidak ada masalah untuk melanggar identiti kenegaraan yang sedia ada iaitu identiti kenegaraan Islam yang memberi larangan tertentu atas kalimah yang tertentu untuk mengelakkan kekeliruan.

“Apabila dia cuba merosakkan perkara itu, seolah-olah ada usaha secara tersirat untuk menentang identiti kenegaraan yang sedia ada,” katanya.

Ustaz Syamil menjelaskan, di sisi Allah SWT, agama Islam adalah agama yang satu-satunya diredai di sisi Allah SWT dan agama-agama lain, Allah SWT sama sekali tidak meredainya.

“Kita semua maklum bahawa bagi orang bukan Islam, mereka tidak akan sebut Ilahi jika mereka mahu sebut Tuhan.

“Orang Kristian akan sebut Tuhan mereka sebagai Jesus, dan kalau orang Hindu akan sebut Siva atau Brahma.

“Manakala bagi orang Islam, perkataan Ilahi adalah jelas merujuk kepada Allah SWT iaitu Tuhan yang dipercayai di dalam agama Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button