Berita Utama

DAPSY bukan saja vandalisme, tetapi juga eksploitasi bahasa

Jangan bertindak sesuka hati permainkan undang-undang

BANGI, 5 Muharram 1442H, Isnin – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak bukan sahaja sengaja mencetuskan provokasi, bahkan dalam cubaan mengeksploitasi bahasa kerana tindakan mereka jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, beberapa ahli DAPSY Kuching menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di beberapa lokasi di pusat bandar raya –  atas alasan perlu diterjemahkan dalam bahasa berkenaan untuk keperluan pelancong dari China.

Menyifatkannya sebagai kegiatan vandalisme, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, perbuatan mereka telah melanggar peraturan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan. 

Justeru, pihaknya berharap tindakan yang bakal dikenakan akan menjadi iktibar kepada pihak lain supaya tidak bertindak sesuka hati mempermainkan undang-undang yang telah ditetapkan. 

“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak menjadikan eksploitasi bahasa sebagai satu gurauan untuk berpolitik kerana ia mampu mencetuskan ketegangan kaum,” tegasnya.

Tindakan pemuda DAPSY turut mendapat perhatian Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi apabila menyifatkan ia berbentuk provokatif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya menuntut menuntut DAPSY membuat permohonan maaf secara terbuka dan harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu boleh mencetuskan kegusaran dalam masyarakat itu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan provokasi perkauman termasuk menerusi eksploitasi bahasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button