Berita Utama

Gesa YADIM hidupkan kembali MAIM, tanpa lantikan politik

Harap YADIM dapat memperkasa agenda Islam terutama konteks dakwah

BANGI, 5 Muharram 1442H, Isnin – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) mengesyorkan supaya Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) – yang menjadi platform kepada NGO-NGO Islam menyalurkan tenaga memberi bantuan dalam gerak kerja dakwah, dihidupkan semula.

Dalam satu pertemuan di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya, hari ini, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau kesal kerana inisiatif ini terkubur sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.  

Justeru, beliau mengharapkan supaya platform ini dihidupkan semula dan tidak menjadi satu lagi pusat longgokan lantikan politik semata-mata. 

“Saya pernah menjadi Ketua Kluster Perpaduan MAIM dan alhamdulillah, platform ini secara efektifnya membantu dalam memupuk perpaduan ummah melalui pelbagai program, sidang perjumpaan, wacana dan sebagainya

“…di mana kita tidak mengabaikan mana-mana pihak, sama ada pro-kerajaan, pro-pembangkang ataupun neutral. Saya pasti kluster-kluster lain juga telah berfungsi dengan sangat cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas satu sesi khas diadakan bersama Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasruddin Hassan dan rakan-rakan pimpinan NGO di bawah gabungan PEMBELA.

Pada masa sama, Haji Aminuddin turut menggesa supaya peluang kepemimpinan di dalam MAIM dibuka kepada mereka yang layak.

Ini kerana, katanya, masih banyak pihak yang mahu menyumbang jasa kepada dakwah Islamiah di Malaysia.  

“Semoga YADIM dapat kembali menjadi satu agensi yang memainkan peranan memperkasakan agenda Islam terutamanya dalam konteks dakwah di Malaysia,” katanya.

MAIM adalah badan permuafakatan pertubuhan Islam Nasional ditubuhkan sebagai rakan strategik YADIM untuk menjalankan program berkaitan pemerkasaan masyarakat. 

Wadah ini telah menaungi 70 pertubuhan Islam di Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button