Berita Utama

Hapus sekolah vernakular jika mahkamah nanti putuskan tak sah di sisi Perlembagaan

Prof Kok Seong yakin hakim akan buat keputusan terbaik

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 5 Muharram 1442H, Isnin – Sekolah vernakular – yang didakwa antara punca utama ketegangan kaum di negara ini – perlu dihapuskan sekiranya keputusan mahkamah kelak memutuskan ianya tidak sah di sisi Perlembagaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong percaya orang Cina dan India mempunyai sentimen nasionalisme yang sangat menebal – termasuk dalam isu sekolah vernakular.

Maka, tidak mustahil berlaku ‘sesuatu’ sekiranya mahkamah memutuskan sekolah vernakular tidak sah di sisi Perlembagaan negara.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu bermain dengan spekulasi dan memohon semua pihak bersabar menunggu keputusan akhir dari pihak mahkamah berhubung keabsahan sekolah berkenaan.

“Jadi, kalau ia tak sah, perlu ada tindakan untuk menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.

“Kalau sah, mereka (sekolah vernakular) akan terus wujud dan di situ mereka akan lebih naik minyak.

“Tapi, apa-apa pun kita tunggu keputusan mahkamah, saya percaya keputusan baik akan dilakukan hakim bagi kepentingan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tiga pertubuhan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Permohonan itu difailkan Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, awal minggu lalu.

Peguam, T Gunaseelan berkata, dia akan memohon kes di Kota Bharu dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk didengar bersama tindakan serupa yang difailkan di ibu negara, jika permohonan menjadi pencelah oleh anak guamnya berjaya.

Selain iGuru, ISMA antara gerakan Islam yang memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November tahun lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button