Berita UtamaIstimewa

Jangan besarkan isu hingga permain hudud

Tak perlu kritik dengan kait hukum Allah yang termaktub dalam al-Quran

BANGI, 5 Muharram 1442H, Isnin – Sekali pun mahu mengkritik menteri, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak sepatutnya memperbesarkan isu sehingga dilihat seakan-akan mempermainkan hukum hudud.

Terdahulu, Syed Saddiq menerusi akaun Twitter mendakwa, rakyat biasa yang langgar kuarantin, didenda RM12,000 dan dipenjara sampai lima bulan.

“Bila melibatkan menteri, undang-undang lain dipakai untuk menyelamatkan kawan.

“Kalau hudud dilaksanakan, rakyat biasa dipotong tangan, menteri potong kuku sahaja,” katanya mengkritik tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali apabila gagal mematuhi kuarantin wajib selepas pulang dari Turki.

Mengulas perkara itu, Penolong Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan itu jelas menunjukkan beliau seperti meremehkan pelaksanaan hudud.

Beliau berkata, perlu difahami bahawa isu berkaitan hukum hudud sudah disepakati mesti dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.

“Jangan sekali-kali masuk dalam perdebatan mengenai keabsahannya. 

“Kenyataan Syed Saddiq menunjukkan penentangan secara tak langsung terhadap agenda melaksanakan hukum Allah kerana beliau menyentuh isu itu secara spesifik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kesal dengan kenyataan itu, Ustaz Ahmad Syamil mengingatkan Syed Saddiq supaya berhati-hati dengan kritikannya, tidak perlu menyelar sehingga mengaitkan hukum Allah yang termaktub dalam al-Quran.

Merujuk surah At-Taubah ayat 65, beliau berkata, keceluparan itu dibimbangi termasuk dalam perihal orang munafik yang suka bermain dengan ayat-ayat Allah SWT.

“Dan apabila engkau bertanya mereka (wahai Muhammad) mereka pasti akan berkata: Kami hanya bersembang-sembang dan bermain-main.

“Katakanlah (wahai Muhammd): Adakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu (tergamak) untuk perolok-olokkan? [At-Taubah:65].

“Sepatutnya perihal hudud sudah disepakati bahawa ia mesti diterima tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button