Berita Utama

Muafakat Nasional tak akan tahan lama jika UMNO tak berubah

PAS, Bersatu perlu bentang agenda bentuk kekuatan MN yang seimbang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Muharram 1441H, Isnin – Penyertaaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) – bersama UMNO dan PAS – sudah boleh dijangka dengan mudah, apatah lagi parti itu terdesak untuk memperkukuhkan kerajaan yang kini hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat. 

Dari bilangan asal 31 orang Ahli Parlimen ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH), jumlah yang kekal selepas perpecahan Bersatu menyebabkan cengkaman parti ini semakin lemah, kata pemerhati politik, Ir Lukman Al-Hakim Muhammad.

Sementara UMNO pula katanya, dilihat seolah-olah menggunakan MN sebagai platform untuk mendapat talian hayat bagi memastikan partinya mampu terus berperanan dan kekal relevan.

“Setelah Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan terbongkar pelbagai masalah dalaman serta salah laku pimpinan tertinggi UMNO, kini adalah masa untuk bangkit semula, dan UMNO memerlukan bantuan ahli politik Melayu Islam yang lain untuk bangun,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika parti ‘keramat’ Melayu itu tidak berubah dan kekal dengan cara dan budaya lama, MN tidak akan mampu bertahan lama. 

Lukman berkata, UMNO perlu melakukan koreksi secara menyeluruh dan transformasi sepenuhnya bagi mengubah agenda perjuangan serta budaya kerja ahli berlandaskan lunas Islam terutama dalam aspek integriti dan profesionalisme.

Manakala, PAS dan Bersatu pula, tegas Lukman, perlu membentangkan agenda masing-masing dan mendesak UMNO bersetuju bagi membentuk kekuatan MN yang seimbang dan adil, dan bukannya hanya didominasi UMNO.

“Jika tidak, MN akan menjadi UMNO 2.0 dan umat Melayu Islam di Malaysia akan terus rugi dan tertindas di bumi sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kerjasama parti-parti Melayu Islam ini, Lukman berkata, secara asasnya, jika diketepikan niat sebenar dan beranggapan tiada agenda tersembunyi dari setiap parti yang terlibat dalam MN, tindakan ini adalah amat strategik dan produktif.

Ini kerana, ia adalah harapan sebenar serta aspirasi majoriti rakyat Malaysia yang ingin melihat parti-parti utama Melayu di Malaysia bertaubat, insaf dan berubah demi perjuangan agama, bangsa dan pembangunan negara yang sebenar. 

“Bukannya retorik yang dilaung dan dijeritkan selama ini demi kepentingan parti dan peribadi pimpinan tertinggi

“Pun begitu, tidaklah begitu sukar untuk kita menjangka atau meneka niat sebenar parti-parti politik ini yang membuatkan mereka mengambil keputusan sedemikian,” katanya.

Terdahulu, Bersatu dilaporkan sudah membalas surat jemputan yang dihantar UMNO dan PAS dan menyatakan kesediaan untuk menyertai MN.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, surat jemputan itu dijawab oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button