Berita Utama

Rakyat hilang percaya jika rasuah babit pegawai kerajaan berleluasa

Laksanakan tanggungjawab dengan amanah demi rakyat, negara

BANGI, 5 Muharram 1442H, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa supaya menjalankan tugas dengan berhemah dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ditetapkan.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai serta kakitangan penguat kuasa kerajaan, khususnya di negeri berkenaan.

Titah Sultan Sharifuddin, tindakan segelintir mereka terbabit di dalam jenayah tidak bermoral itu telah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan serta pihak berkuasa yang terlibat.

“Laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa, ianya akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan-jabatan penguat kuasa ini di dalam melaksanakan tindakan undang-undang,” titah baginda.

Justeru, baginda menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua peringkat, termasuk Majlis Kerajaan Tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan jabatan kerajaan lain supaya tidak terbabit dengan perbuatan rasuah.

“Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan. 

“Perbuatan ini perlu dielakkan sama sekali dari dilakukan. Baginda juga menegaskan bahawa agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa,” kata kenyataan itu.

Baginda bertitah, gejala rasuah adalah perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

“Mereka perlulah bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Sikap berhemah di dalam mengambil sesuatu tindakan perlulah sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman awam. Laksanakanlah tanggungjawab anda semua dengan penuh amanah demi rakyat dan negara,” titah baginda.

Sebelum ini, sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), termasuk seorang berpangkat ketua jabatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penahanan sembilan individu berkenaan susulan pendedahan dibuat Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia yang menjual rokok seludup di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Dia mendakwa, MBSA dan polis disyaki menerima suapan daripada sindiket yang menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button