Berita Utama

Suri rumah rugi RM60,000 ditipu lelaki menyamar ‘polis’

Suspek dakwa MyKad mangsa ditemui dalam serbuan jenayah

KUANTAN, 5 Muharram 1442H, Isnin – Seorang suri rumah kerugian RM60,000 setelah membayar wang berkenaan secara berperingkat kepada seorang lelaki yang mendakwa ‘pegawai polis’, bagi mengelak daripada ditahan kerana terlibat dalam kes jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 48 tahun itu dihubungi pertengahan Jun lalu oleh seorang lelaki yang kononnya bertugas di balai polis di Sabah.

“Suspek mendakwa kad pengenalan mangsa ditemui dalam serbuan jenayah di sebuah rumah di Sabah menyebabkan dirinya telah disyaki sebagai rakan subahat kepada penjenayah yang ditahan.

“Suspek juga dikatakan mengugut mangsa bahawa dirinya boleh ditangkap, namun terdapat jalan untuk menutup kes itu iaitu dengan membuat bayaran kepada polis dan peguam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang panik kerana kerap diugut sedemikian telah menuruti arahan itu dengan membuat transaksi pemindahan wang ke dalam akaun diberikan suspek, secara berperingkat mulai awal Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa mula curiga apabila suspek terus memintanya untuk membuat bayaran menyebabkan beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button