Berita Utama

ADUN Ayer Hangat Speaker DUN Kedah baharu

Juhari ganti Datuk Ahmad Kassim letak jawatan 15 Ogos lepas

ALOR SETAR, 6 Muharram 1442H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Juhari Bulat hari ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu.

Pelantikan beliau dibuat pada sesi persidangan DUN di sini bagi menggantikan Datuk Ahmad Kassim yang meletak jawatan pada 15 Ogos lepas.

Juhari sebelum ini merupakan Timbalan Speaker DUN bermula 4 Julai 2018 yang dilantik ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Turut dilantik hari ini, ADUN Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Terdahulu sidang DUN sedikit tegang apabila Ketua Pembangkang Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mempertikaikan pelantikan speaker yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Phahrolrazi mendakwa ahli dewan tidak menerima notis kekosongan jawatan speaker.

Sidang DUN kali ini yang berlangsung dua hari hingga esok adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH pada Mei lepas.

Pada 17 Mei lalu, ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang sebelum itu meletak jawatan susulan hilang sokongan majoriti ADUN. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button