Berita Utama

ANGKASA desak kerajaan tarik balik jaminan isu sekolah vernakular

Syor tubuh RCI, muktamadkan isu supaya tak jadi punca perpecahan kaum

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik semula jaminan mengekalkan sekolah vernakular, termasuk rancangan menambah pembinaannya.

Ketuanya, Hazwan Mohamad berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan berhenti memisahkan bumbung pendidikan dengan pelbagai aliran, demi perpaduan dan masa depan negara.

Beliau berkata, ANGKASA kecewa dengan pelbagai jaminan yang diberikan kerajaan hari ini terhadap sekolah vernakular, termasuk menambah 10 buah lagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan pemindahan enam lagi ke lokasi lebih besar.

“Dalam laporan akhbar menyatakan Presiden Dong Zong berkata, beliau telah diberi jaminan tentang perkara ini oleh Presiden MCA, Wee Ka Siong.

“Lebih mengecewakan lagi, ketika sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadiquee juga memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular,” katanya.

Terdahulu, Halimah berkata, kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Lebih mengejutkan, apabila kerajaan juga didakwa merancang menambah lagi sekolah vernakular sehingga mendapat pujian pertubuhan radikal Cina, Dong Zong.

Mengecam keputusan kerajaan itu, Hazwan menegaskan kewujudan sekolah vernakular – peninggalan penjajah – adalah antara faktor utama yang membantutkan usaha perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat.

“Kumpulan sejarawan, ahli akademik, tokoh sosial dan NGO telah bersuara bahawa perlunya ada satu ketetapan berprinsip untuk sebuah sistem pendidikan yang beridentitikan watan Malaysia.

“Sekolah-sekolah tidak seharusnya dipisahkan dek kerana kita tidak mahu menerima bahawa bahasa pengantar yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera bagi menyiasat dan memuktamadkan isu itu, supaya tidak menjadi punca perpecahan kaum.

“ANGKASA juga memanggil kesemua parti komponen Melayu di dalam kerajaan seperti Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam dan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal untuk tidak berdiam diri sahaja dalam polemik yang akan merugikan survival perpaduan nasional ini.

“Hegemoni MCA dalam kerajaan hari ini telah menenggelamkan kesemua parti politik Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button