Berita Utama

ISMA Petra Jaya syor tambah tulisan Jawi di papan tanda

Memperingati sejarah Kuching dan mempromosi budaya setempat

KUCHING, 6 Muharram 1442H, Selasa – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Petra Jaya menyarankan supaya menambah tulisan Jawi pada papan tanda jalan utama di bandar Kuching.

Yang Dipertua ISMA Petra Jaya, Mohammad Afiq Shazwan Abd Samat berkata, cadangan ini sebagai satu sokongan kepada Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) anjuran kerajaan negeri bagi memperingati sejarah Kuching dan mempromosikan budaya setempat.

Katanya, usaha itu juga adalah mahu memperkenalkan tulisan tradisi bangsa Melayu serta Bumiputera Sarawak kepada pelancong‐pelancong dari luar negara.

“Pada masa sama kita mahu menghargai legasi sejarah tulisan Jawi sebagai sistem tulisan rasmi pemerintah di Sarawak sejak dahulu lagi.

“Jika kita lihat sejarah Jawi telah digunakan sejak zaman Empayar Brunei, sehingga Dinasti Brooke malah turut digunakan di dalam dokumen Pemasyhuran Malaysia bertarikh 16 September 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara pagi tadi untuk menyerahkan usul berkenaan.

Antara kawasan bersejarah yang dicadangkan agar tulisan Jawi ditambah pada papan tanda seperti di kawasan kampung Melayu iaitu Tapak Persaudaraan Masjid Bintangor Haji Taha; Masjid Besar Kuching; Rumah Warisan Haji Taha/ Darul Kurnia.

Seterusnya monumen bersejarah seperti Old Court House; Balai Polis Sentral dan kawasan warisan perniagaan seperti India Street; Carpenter Street dan China Street.

Selain itu di Tebingan Sungai Sarawak; Kuching Waterfront; Kampung Boyan; Sungei Lajim dan Kubah Ria.

Mohammad Afiq berkata, hasrat ini juga sebagai satu usaha sempena Hari Sarawak, Hari Merdeka dan hari Malaysia untuk menghargai warisan sejarah dan bangsa, dan menyemarakkan perasaan cinta akan negara melalui tulisan Jawi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close